Sabtu, 02 April 2011

Nama : Uswatun Khasanah, S.HI
NIM : 26.10.7.3.069
Mata Kuliah : Isu-Isu Dalam Pendidikan Islam
Pengampu/Dosen : Drs.H.Rohmad, M.Pd,Ph.D

DUALISME DALAM PENDIDIKAN
Dalam menangani arus globalisasi, kemodenan dan pembangunan, dikenali juga dengan zaman kepesatan maklumat tanpa sempadan, pendidikan memainkan peranan penting yang amat mencabar sekali dalam kehidupan umat manusia. Tanpa pendidikan, manusia tidak akan mengenal huruf, tidak mampu membaca dengan baik dan tidak mempunyai pengetahuan sama ada secara formal, informal maupun non-formal. Pembentukan modal insan sebahagian besarnya dapat dinilai melalui pendidikan. Justeru dengan sentiasa menitikberatkan pendidikan ke dalam diri individu umumnya dan masyarakat khususnya akan membawa kepada perkembangan positif terhadap negara. Walau bagaimanapun, pendidikan agama perlu diterapkan ke dalam pendidikan umum supaya manusia khususnya umat Islam tidak akan mudah terpesong daripada ajaran Islam yang mencakupi aspek akhlak, akidah dan syariah.
Namun sejak berdekad-dekad yang lalu, hampir semua negara Islam mengamalkan sistem pendidikan yang berbentuk dualisme, iaitu dua aliran pendidikan yang dikenali sebagai aliran sekolah kebangsaan dan aliran sekolah agama. Matlamat dan tujuan kedua-dua sistem dan bentuk pendidikan ini amat jauh berbeza serta menimbulkan jurang pemisahan antara pelajar kedua-dua aliran tersebut. Aliran sekolah kebangsaan yang semua subjek pelajarannya bersifat duniawi, lebih menekankan penguasaan ilmu-ilmu akademik dan ketrampilan, namun kurang menumpukan aspek kerohanian dan mental para pelajar sehingga akhirnya akan menimbulkan kekosongan jiwa. Natijahnya lahirlah pelajar yang tidak ada keseimbangan antara kehidupan duniawi dengan ukhrawi. Sekolah aliran agama pula hanya menumpukan subjek yang hanya bersifat keagamaan semata-mata tanpa memberikan perhatian yang secukupnya terhadap pendidikan umum, akan melahirkan generasi yang hanya pandai dalam bidang agama, tetapi tidak mempunyai bekalan dalam pengetahuan umum yang mencukupi serta ketrampilan yang cukup dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin maju. (Gamal Abdul Nasir, 2003). Justeru sebelum mengupas lebih lanjut mengenai isu ini, perlu diketahui apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah dualisme dalam pendidikan.
DEFINISI ISTILAH DUALISME PENDIDIKAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (cetakan ketiga, 2002), istilah dualisme membawa maksud ‘teori yang berasaskan dua dasar yang berlainan’ atau ‘perihal yang mendua, sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan.’ Sementara pendidikan pula membawa makna ;
a) Perihal mendidik; Ilmu pendidikan, ilmu mendidik pengetahuan mendidik, ilmu didik; didikan, latihan, ajaran (Kamus Dewan edisi ketiga, 2002)
b) Proses belajar dan mengajar; pengalaman menerima (ajaran, latihan, didikan); bentuk, kaedah, perihal mendidik (dalam ajaran, latihan, didikan). (Kamus Bahasa Melayu, 1997)
c) Tarbiyah, pengajaran, pengasuhan, penjagaan. (Tesaurus Melayu Moden Utusan, 2001).
Apabila dicantumkan istilah dualisme dalam pendidikan ditakrifkan seperti berikut ;
a) ...wujudnya dua sistem pendidikan yang berbeza iaitu sistem pendidikan tradisional Islam dan sistem pendidikan moden. Sistem pendidikan tradisional Islam lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala sistem pendidikan moden hanya menitikberatkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan. (Abdul Halim Ramli, dalam rencana tulisannya, Memecah Dualisme Hamoniskan Ilmu : Reformasi Sistem Pendidikan Menurut Perspektif Syeikh Mohamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan).
b) ...masalah masyarakat Islam rata-rata, bukan sahaja di Malaysia, ialah kita telah mewujudkan dualisme di antara ilmu wahyu atau naqliah dengan ilmu aqliah ataupun ‘sciences’. (Dato’ Seri Najib Tun Razak, bekas Menteri Pendidikan Malaysia, kini Timbalan Perdana Menteri Malaysia).
c) ...program pendidikan yang dimajukan di Barat tidak sesuai untuk masyarakat negara ini kerana program tersebut mengamalkan prinsip dualisme dan sekularisme yang memisahkan ilmu keduniaan dan ilmu agama. (Nik Azis Nik Pa, dalam bukunya, Program Pendidikan pintar Cerdas : Teori dan Praktik).
Berdasarkan tiga definisi di atas, dualisme dalam pendidikan secara ringkasnya ialah pengasingan di antara ilmu agama dengan ilmu selain agama, iaitu ilmu yang mempunyai berbagai definisi; ilmu moden oleh Abdul Halim Ramli, ilmu sains oleh Dato’ Seri Najib dan ilmu keduniaan oleh Nik Azis. Walaupun istilah tersebut ditakrifkan dalam pengertian yang berbeza, ia tetap datang dari satu punca iaitu Barat, akibat kesan penjajahan misalannya Belanda di Indonesia, British di Malaysia bahkan di Brunei sendiri apabila kuasa British bertapak di Brunei, ia tidak cuma mengubah sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan undang-undang, malah secara tidak langsung mempengaruhi sistem pendidikan Brunei. Pihak British telah memperkenalkan sistem pendidikan sekular berbentuk formal kepada masyarakat Brunei dan ini telah menjadikan dualisme sistem pendidikan di Brunei sejak kurun ke 20 Masehi, iaitu sistem pendidikan ugama Islam dan pendidikan sekular. (Asbol Mail, 2006)
INTIPATI DUALISME DALAM PENDIDIKAN
Kedua-dua sistem pendidikan iaitu pendidikan umum (atau pendidikan sekular) dan pendidikan Islam ini adalah antara warisan yang ditinggalkan oleh penjajah, sebagai usaha untuk memecahbelahkan umat Islam dan bertujuan untuk memisahkan antara agama dengan ilmu umum, yang pada akhirnya akan meluaskan jarak antara kedua-duanya. Di Indonesia sebagai misalnya sehingga kini masih mengamalkan dualisme dalam sistem pendidikan. Akibatnya pendidikan diurus dan ditadbir oleh dua kementerian. Kementerian Pendidikan mengurus dan mentadbir sekolah umum daripada tadika hingga peringkat universiti. Sedangkan Kementerian Agama pula mengelola dan mengurus sekolah agama seperti madrasah dan pesantren, daripada tadika hingga peringkat universiti. Oleh sebab pendidikan diurus dan ditadbir oleh dua kementerian, sudah pasti ini memberikan impak dalam pembiayaan dan pengurusan ke atas kedua-dua aliran sekolah tersebut. Apa yang pasti sekolah umum yang diurus dan ditadbir oleh Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan dan perbelanjaan yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan sekolah agama.
Hal ini juga membabitkan penyediaan prasarana pendidikan dan guru yang terlatih. Ada anggapan sesetengah masyarakat bahawa sekolah agama dan lulusannya digolongkan dalam kelas kedua, kerana dikaitkan dengan kedaifan dan kekurangannya serta peluang pekerjaan bagi para lulusannya. Jika di bandingkan dengan Negara Brunei Darussalam memang tidak jauh berbeza. Pendidikan agama Islam merupakan sistem pendidikan yang mengajarkan aspek keugamaan seperti mengaji Al-Qur’an, belajar hukum-hakam Islam, ibadat, sejarah Islam dan sebagainya. Dan secara formalnya, setiap kanak-kanak Islam akan mengikuti kelas persekolahan agama pada sesi sebelah petang bermula dari pra-sekolah hinggalah darjah enam sahaja, yang agak terbatas waktunya meskipundiajarkan secara konsisten. Pembelajaran secara teori banyak diajarkan oleh guru-guru agama disamping pembelajaran secara praktikal seperti solat Zuhur dan Asar, ada kalanya turut diamalkan setiap hari waktu persekolahan. Matlamat utama sistem pendidikan ini adalah semata-mata untuk membentuk umat manusia yang beriman kepada Allah agar kehidupan mereka berbahagia di dunia dan di akhirat.
Sementara itu, sistem pendidikan sekular (atau pendidikan umum) yang rata-ratanya diajarkan pada sesi sebelah pagi di kebanyakan sekolah di negara ini adalah sistem persekolahan yang mengajarkan mata pelajaran-mata pelajaran seperti matematik, sains, geografi, bahasa, sejarah, perdagangan, lukisan, komputer dan sebagainya. Sistem pendidikan seumpama ini memang dijalankan di kesemua sekolah-sekolah Melayu, Inggeris, Cina, sekolah misi, bahkan di peringkat pendidikan teknik dan vokasional hinggalah peringkat institusi pengajian tinggi. Dalam aspek pengajarannya, hubungan dengan unsur-unsur keagamaan agak kurang dipentingkan ataupun langsung tidak diambil kira.
Sebelum wujudnya persekolahan Melayu, masyarakat Brunei telahpun mempunyai sistem pendidikan Islam walaupun tidak secara formal. Kebanyakan sarjana berpendapat bahawa pendidikan tersebut dipercayai sudah bermula serentak dengan proses Islamisasi pada masyarakat tempatan. Fenomena ini tidak hanya berlaku di Brunei, bahkan terjadi juga pada negeri-negeri lain di rantau nusantara ini seperti Indonesia, Malaysia (tanah Melayu) dan Filipina. Hal ini berlaku kerana hanya menerusi pendidikan sahaja ajaran Islam dapat difahami dan dilaksanakan. Dengan adanya kefahaman ini barulah mereka dapat menjalani kehidupan harian sebagai seorang muslim yang sempurna. Oleh sebab itulah Islam mewajibkan kepada umatnya agar menuntut ilmu khasnya ilmu agama bagi meneguhkan pegangan terhadap Islam. Ilmu keduniaan pula terutama yang boleh mendatangkan kebajikan kepada umat manusia memang digalakkan oleh Islam untuk dipelajari bersama. (Asbol Mail 2006)
PERBEDAAN DUALISME PENDIDIKAN DENGAN SISTEM PENDIDIKAN BERSEPADU
Sistem dualisme dalam pendidikan adalah berbeza dengan sistem pendidikan bersepadu. Jika sistem dualisme memisahkan dan mengasingkan antara pendidikan agama dengan pendidikan umum, sistem pendidikan bersepadu pula menyatukan dan mengintegrasikan pendidikan agama dengan pendidikan umum. Pendidikan bersepadu juga dikenali dengan istilah Pendidikan Integral. Di antara lain definisi Pendidikan Bersepadu yang dikemukakan oleh beberapa tokoh pendidikan Islam ialah seperti berikut ;
a) Pendidikan yang menekankan kepada kesatuan ilmu pengetahuan; bukan pendidikan yang menekankan kepada pemangsaan (pemetakan) ilmu atau bukan pendidikan bersifat khusus, berikhtisas sempit atau kevokasian. [Profesor Shaharir]
b) Seluruh proses pendidikan dan perkembangan ilmu tidak terpisah daripada tauhid, sama ada rohani, jasmani dan akli. Coraknya adalah bersepadu; lantaran itu segala ilmu bersifat kudus dan sekaligus penglibatannya adalah ibadat bagi manusia. [Dr. Abdul Halim Muhammad]
c) Pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadis, disamping adanya integrasi disiplin-disiplin ilmu akal ke arah membina komuniti umat yang berteraskan akidah. [Tajul]
d) Pendidikan yang menyatukan jiwa dan raga, dunia dan akhirat yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, dilandasi oleh semangat tauhid, serta keserasian antara iman, ilmu dan amal. [Mohammad Natsir]
Berdasarkan definisi yang dikemukakan, pendidikan bersepadu boleh disimpulkan dengan ciri-ciri khas berikut ;
a) Pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
b) Pendidikan yang berteraskan tauhid.
c) Adanya integrasi antara iman, ilmu dan amal.
d) Tidak ada pemisahan antara konsep ilmu agama dan ilmu dunia, dan tiada pemisahan antara pendidikan agama dan pendidikan umum. (Gamal Abdul Nasir, 2003)
Dualisme pendidikan pula lebih mementingkan satu aspek pendidikan sahaja iaitu sama ada lebih menjurus kepada pendidikan agama ataupun lebih memfokus kepada pendidikan umum. Kedua-dua jenis pendidikan tersebut tidak disatupadukan sama sekali. Akibatnya tiada keseimbangan antara pendidikan agama dengan pendidikan umum. Mereka yang menceburi bidang pendidikan agama akan lebih mahir dalam bidang keagamaan (hukum hakam, fiqh ibadat dan mu’amalat, fardhu ‘ain dan fardhu kifayah) tanpa sedikitpun mengambil berat keperluan pendidikan umum sebagai ilmu pengetahuan tambahan yang perlu ada bagi setiap individu. Manakala mereka yang mempelajari bidang pendidikan umum seperti ilmu matematik, ilmu perubatan, sains, geografi dan sebagainya akan mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing tetapi tidak dicampuri dengan ajaran Islam yang syumul dan kamil. Pendidikan umum (atau pendidikan sekular) dikatakan lebih tertumpu kepada hal ehwal urusan keduniaan, sebaliknya pendidikan agama pula lebih banyak menguasai bidang ibadat dan hal ehwal akhirat. Maka atas sebab itulah pendidikan agama dipisahkan daripada pendidikan umum secara keseluruhan memandangkan faktor perbezaan tersebut.
IMPLIKASI DUALISME DALAM PENDIDIKAN
Kalau ditinjau secara rambang, memang tidak dinafikan kemajuan sesebuah negara banyak dibangunkan oleh unsur-unsur pendidikan umum, sama ada dari segi ekonomi, sosial, kebudayaan, hubungan antarabangsa, dan sebagainya. Sungguhpun begitu, faktor pendidikan agama perlu diselaraskan dan dititikberatkan agar segala perancangan dan tindakan tidak menyimpang dari landasan yang lurus dan betul. Begitu juga dengan aspek pendidikan secara khusus perlu ada integrasi antara agama dan ilmu umum. Salah seorang tokoh pembaharuan Islam yang banyak berkecimpung dalam bidang pendidikan iaitu Muhammad Abduh melihat adanya bahaya dalam sistem pendidikan yang bersifat dualisme antara madrasah-madrasah (sekolah-sekolah) yang hanya memberikan pelajaran pengetahuan agama yang hanya akan melahirkan golongan ulama’-ulama’ yang tidak mempunyai pengetahuan ilmu-ilmu moden, dengan sekolah-sekolah moden yang mengeluarkan ahli-ahli dalam berbagai bidang keilmuan dan kemahiran yang sedikit pengetahuan agamanya. Lantaran dengan memasukkan ilmu pengetahuan moden ke dalam sekolah-sekolah (khususnya Universiti Al-Azhar) dan dengan memperkuat didikan agama di sekolah-sekolah, maka jurang yang memisahkan golongan ulama’ dari golongan ahli ilmu akan dapat diperkecilkan.
Secara globalnya, impak yang negatif besar kemungkinan akan wujud melebihi kesan positif sekiranya diamalkan sistem dualisme ke dalam pendidikan. Ini kerana golongan cendekiawan dan ilmuwan yang lahir dari dua sistem pendidikan yang didiskriminasikan ini akan saling bersaing antara satu sama lain, bukan dalam keadaan yang membina bahkan mungkin menjatuhkan sesama sendiri walaupun beragama Islam. Inilah yang akan menyebabkan konflik pemikiran yang tidak selari malah bertentangan dengan ajaran Islam.
KESIMPULAN
Faktor pembaratan telah menyebabkan ramai kalangan masyarakat Islam menjadi dualistik. Sejarah tamadun Islam telah menunjukkan bahawa ilmu dan pendidikan Islam berlaku secara integratif. Ilmu mengurus diri seperti akidah, ibadah, akhlak dan syariah mendasari ilmu-ilmu mengurus sistem. Faktor penjajahan di dunia Islam pula dan faktor kemerosotan tamadun Islam kian hari menyebabkan ilmu dan pendidikan tersisih dari nilai fitrah. Ilmu dan pendidikan tumbuh dalam binaan asas yang menolak faktor pendidikan rabbani. Akhirnya ilmu dan pendidikan menjadi sekular dan melahirkan para pelajar yang melihat faktor duniawi mengatasi segala-galanya. Umumnya pertimbangan agama tidak dijadikan pertimbangan utama dalam penyuburan ilmu dan pembangunan pendidikan, seterusnya menyebabkan fahaman sekular berkembang.
Dalam pada itu, faktor globalisasi yang sedang berjalan disamping faktor positif yang boleh dimanfaatkan pula menjadikan umat Islam terjebak dalam proses pembaratan. Penjajahan pemikiran, gaya hidup, ekonomi dan teknologi langit terbuka amat ketara berlaku dalam kehidupan orang-orang Islam khususnya di kalangan generasi muda. Menyingkap beberapa faktor tersebut, sebagai jawapan yang terbaik terhadap cabaran globalisasi kini ialah proses Islamisasi. Islamisasi tidak menolak kepentingan ilmu sains dan teknologi, ekonomi dan kewangan, pengurusan dan penyelidikan, dan seumpamanya. Bahkan asas nilai dan agama menjadi teras dalam rangka ilmu dan pendidikan itu sendiri. Islamisasi adalah satu proses jangka masa yang panjang yang memerlukan rangka ilmu dibangunkan secara sistematik supaya wujud asas epistemologi (ilmu) yang sepadu dan seimbang, dan asas metodologi (kaedah-kaedah) yang mampu membangunkan modal insan yang holistik.
Institusi yang mendukung Islamisasi perlu dikembangkan disamping ‘literature’ (kesusasteraan) atau bahan kajian dan penulisan perlu disuburkan agar sumber-sumber ini dapat mengukuhkan proses pendidikan yang sedang berjalan. Secara jangka panjangnya, setiap disiplin ilmu didukung oleh falsafah, nilai dan tasawwur (gambaran) yang tidak sahaja mendukung maksud fikir dan zikir. (Prof Dr Sidek Baba, 2006)
Kesimpulannya, pendidikan agama yang bersumberkan kepada Al-Qur’an dan Hadith adalah sebenarnya menjadi tunjang kepada semua pendidikan umum yang ada di dunia. Ertinya ilmu-ilmu yang ada di dunia ini selain daripada agama Islam pokok pangkalnya memang berasal daripada agama Islam itu sendiri, dan mempunyai hubungkait yang rapat antara satu sama yang lain. Kesemuanya termaktub di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith sebagai perlembagaan Islam yang berharga hingga ke akhir zaman. Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan menerusi petikan ayat Al-Qur’an dalam Surah al-Maidah : ayat 48, Allah telah berfirman yang mafhumnya ;

“Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Qur’an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu. Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki nescaya kamu dijadikanNya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allahlah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukanNya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.”
RUJUKAN (BIBLIOGRAFI)
1. Al-Qur’an Dan Terjemahnya Juz 1 – 30 (1997). Kuala Lumpur : Pustaka Antara Sdn Bhd.
2. Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2001). Tesaurus Melayu Moden Utusan, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
3. Ammar Fadzil (2007). Anatomi Al-Quran Mengenal Ilmu, Sejarah & Kandungan Al-Quran Selangor : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
4. Arbak Othman (1997). Kamus Bahasa Melayu. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
5. Dr Abdurrahman Salleh Abdullah (1990). Teori-teori Pendidikan berdasarkan Al-Qur’an Jakarta : Rineka Cipta.
6. Dr Hj Maimun Aqsha bin Hj Abidin Lubis (1999). Tajuk-Tajuk Falsafah Pendidikan Islam
Brunei : Pusat Teknologi Pendidikan, UBD.
7. Gamal Abdul Nasir Zakaria (2003). Mohammad Natsir Pendidik Ummah. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
8. H. Abuddin Nata (2001). Paradigma Pendidikan Islam. Jakarta : Penerbit PT Gramedia
Widiasarana.
9. Hj Awg Asbol bin Hj Mail (2006). Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950 – 1985 Bandar Seri Begawan : Pusat Sejarah Brunei, KKBS.
10. Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
11. Prof Dr Sidek Baba (2006). Pendidikan Rabbani Mengenal Allah melalui Ilmu Dunia. Selangor: Karya Bestari Sdn Bhd.
12. Rammani Karupiah (2001). Kursus Lengkap Sarjana STPM Sejarah Kertas 940/1 Tamadun Dunia. Selangor : Pustaka Sarjana Sdn Bhd
13. Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam (2007). 300 Hadis Bimbingan Ke arah mencari reda Allah. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn Bhd

Tidak ada komentar:

Posting Komentar